Pipi elok sendiri, ibu syukur Ainul Mardhiah tak perlu betulkan urat tisu


Sedar tak sedar, sudah tiga tahun penghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di mulutnya.

Dalam tempoh tersebut, kanak-kanak berusia empat tahun itu sentiasa menunjukkan perkembangan positif menerusi perkongsian di media sosial ibu bapanya.

Terbaru, ibu Ainul iaitu Nurul Erwani Zaidi meluahkan kesyukuran apabila anaknya itu tidak perlu menjalani rawatan untuk memperbetulkan struktur wajah terutama pada bahagian pipi.

“Alhamdulillah. Nampak tak muka Ainul dah sama pipi dia sebelah kanan dan sebelah kiri dia,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Instagram baru-baru ini.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, doktor sebelum ini telah menyediakan prosedur bagi memperbetulkan urat tisu di pipi Ainul kerana mengalami bengkak selepas pembedahan.

“Dulu waktu lepas operation nampak bengkak pipi sebelah kanan Ainul. So doktor letak dalam report untuk betulkan urat-urat tisu dekat pipi Ainul biar sama. Tapi kuasa Allah, dah elok dengan sendirinya,” katanya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikut turut gembira melihat perkembangan berkenaan dan memuji Ainul yang dilihat semakin comel selain mendoakan agar kanak-kanak itu terus membesar dengan sihat.

ADVERTISEMENT

Alhamdulillah! Terbentuk & sembuh semula jadi

Makin comel.. semoga kekal sihat

Semakin ayu ‘anak dara’ ni

Terdahulu, kisah Ainul mendapat perhatian ramai pihak sehingga pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri turut terbabit dalam mengendalikan pembedahan itu di sebuah hospital di London.

Sumber: Instagram Nurul Erwani Zaidi