Jom Kenali Ustaz Abdullah Khairi, Seorang Jurutera Jadi Ustaz Selepas Didorong Bapa


Hasrat seorang ayah untuk melihat anaknya menjadi guru agama mendorong penceramah bebas, Abdullah Khairi Haroon, 47 tahun yang ketika itu masih bertugas sebagai jurutera mendalami bidang agama.

Walaupun sudah memiliki pekerjaan terjamin sebagai pengurus jaminan kualiti selepas memperoleh ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), keinginan bapanya, Haroon Syafiee, 78 tahun nyata membakar semangatnya untuk mempelajari bahasa Arab dan mendalami bidang agama.

“Saya hanya mengenali al-Quran ketika berusia 26 tahun. Ia bermula apabila ayah saya yang juga seorang tok guru pondok memegang tangan dan mengajak saya ke belakang rumah kami di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Di belakang rumah, ada kitab agama yang semuanya ditulis dalam bahasa Arab dan dia bertanyakan sama ada saya boleh berbahasa Arab, apabila saya berkata tak boleh, ayah mengatakan hendak membakar semua buku itu.

AYAH MINTA BELAJAR BAHASA ARAB.

“Saya memintanya supaya tidak berbuat demikian dan beliau kemudian mengarahkan saya mempelajari bahasa Arab jika tidak mahu dia memb4kar buku berkenaan,” katanya yang juga seorang pakar motivasi dalam teknik pembelajaran.

Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui dia terfikir sama ada mampu memenuhi permintaan ayahnya kerana ketika itu usianya sudah mencecah 26 tahun serta mempunyai tiga anak.

Justeru, beliau merayu kepada Allah SWT supaya dimudahkan untuknya mempelajari bahasa Arab.

Pada petang hari yang sama, beliau menunggang motosikal bersama anaknya ke pasar malam untuk membeli kuih lopes dan kebetulan gerai di sebelah menjual kitab agama antaranya buku Belajar Bahasa Arab untuk Pelajar Sekolah Rendah.

“Saya beli buku berkenaan dan dan sepanjang malam saya menghafal kalimah yang ada dalam buku itu.

Keesokannya, saya beli pula buku Bahasa Arab untuk Pelajar Sekolah Menengah. Dalam masa tiga bulan, saya berjaya menghafal kira-kira 3,000 perkataan bahasa Arab.

“Kemudian saya meminta ayah mengajar bagaimana hendak menulis, membaca dan bercakap bahasa Arab yang betul,” katanya ketika ditemui pada program Pelayaran Islamik 11.0 anjuran IntraTama Travel Consultant & Tour Sdn Bhd.

Abdullah Khairi nekad menduduki peperiksaan Empat Sanawi pada tahun yang sama dan akhirnya memperoleh keputusan Jayyid Jiddan walaupun mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan.

Beliau seterusnya menyambung pengajian diploma bahasa Arab di Institut Ilmu-ilmu Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama dua tahun sebelum mengambil ijazah dalam pendidikan Islam di Universiti Sultan Sharif, Riau, Indonesia, diikuti sarjana dalam kaunseling Islam di Kolej Universiti Insaniah.

Dengan latar belakang pendidikan yang dimilikinya, Abdullah Khairi kemudian bertugas sebagai guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Onn, Butterworth pada sebelah siang dan menjadi penceramah agama pada waktu malam.

SELITKAN KELEBIHAN AL-QURAN.

Walaupun mengajar mata pelajaran sains, beliau berusaha menyelitkan mengenai kelebihan al-Quran yang mendahului penemuan sains dan tidak disangka perkongsian itu berjaya menarik minat guru pelatih wanita berbangsa Cina yang kebetulan melintasi kelasnya.

Guru berkenaan akhirnya berjumpa beliau untuk bertanya lanjut mengenai sains dan al-Quran yang membuka pintu hatinya memeluk Islam.

Keputusan itu menyebabkan guru berkenaan dikurung selama tiga hari dan apabila tetap mengisytiharkan dirinya Islam, beliau dipinggirkan walaupun tinggal serumah.

“Beliau dipinggirkan selama tiga tahun dan apabila bapanya diserang angin ahm4r serta dirawat di unit rawatan rapi (ICU), guru berkenaan yang sentiasa berada di samping bapanya kerana masyarakat Cina percaya adalah sial menunggu orang yang sedang nazak.

“Setiap kali ayahnya membuka mata, guru itu akan merayu dan berusaha mengajar mengucap kalimah syahadah. Ketika dada bapanya berombak dan menghampiri saat kem4tian, Allah SWT menolong hamba-Nya. Bapanya tiba-tiba menganggukkan kepala sebanyak tiga kali sebelum meninggal dunia,” katanya.

Abdullah Khairi bercerita lagi, selepas kematian bapanya, ibu guru berkenaan bermimpi bertemu suaminya di sebuah taman indah dan suaminya menyebutkan kalimah tidak difahaminya.

Apabila ditanya, guru itu mengaku mengajarkan bapanya mengucap kalimah syahadah iaitu kalimah yang diucapkan bapanya dalam mimpi itu.

Akhirnya, ibu serta adik-beradik guru berkenaan mengucapkan kalimah syahadah. Dalam tempoh empat tahun, guru berkenaan sudah mengislamkan 34 saudara baharu dan bagi Abdullah Khairi, itulah kelebihan mereka yang beramal dengan al-Quran yang mampu memberi syafaat.

TUBUHKAN PUSAT TAHFIZ.

Sebagai bekalan di akhirat nanti, bapa kepada enam cahaya mata itu mendidik anaknya menjadi hafiz al-Quran dan beliau turut menubuhkan pusat tahfiz sukan pertama di Malaysia, Maahad Tahfiz as-Syafie (MATAS) di Kampung Lubok Meriam, Tasek Gelugor.

“Maahad ini terbuka kepada pelajar yang berminat dalam bidang sukan dan mereka dibenarkan bersukan pada sebelah petang selepas menghafal satu muka surat al-Quran. Maahad ini mempunyai kolam renang, dewan serba guna dan chalet yang boleh disewa orang ramai untuk menjana pendapatan.

“Walaupun baru dibuka 11 bulan lalu, seorang daripada 30 pelajar berusia antara 10 dan 13 tahun sudah berjaya menghafal 24 juz al-Quran,” katanya yang juga bekas pemain bola tampar dan pernah mewakili Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengetua MATAS berkata, pelajarnya turut diajar melakukan pengucapan awam, membaca khutbah, berqasidah dan berurusan dengan orang ramai untuk ketrampilan diri ketika berdakwah.

Selain itu, beliau bercadang menghantar pelajar yang berjaya menghafal 10 juzuk untuk belajar bahasa Arab, manakala yang berjaya menghafal 20 juzuk belajar bahasa Inggeris secara intensif selama dua bulan di Surabaya kerana mempunyai hubungan baik dengan pihak di sana.

Pada masa sama, pelajar MATAS akan diminta menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk masa depan mereka.

Abdullah Khairi berkata, pelajar memberi maklum balas baik kerana dapat mendalami ilmu al-Quran di samping bersukan serta boleh bertemu ibu bapa pada waktu petang setiap hari kerana kebanyakan maahad tahfiz tidak membenarkan ibu bapa bertemu anak sehingga tiga bulan.

Beliau berkata, pihaknya merancang membina bangunan empat tingkat untuk menambah bilangan pelajar tahfiz pada masa depan di tanah wakaf seluas 2.4 hektar tanah wakaf dan mengharapkan bantuan masyarakat bagi merealisasikan hasrat itu.

Sumber Berita Harian.