Pilu “Guru Agama Ditembak Mati Tengah Malam” Malam 8 Ramadan


Guru Agama Ditembak Mati Tengah Malam Tadi

Seorang lelaki dipercayai guru agama di sebuah pondok madrasah di Daerah Nong Chik, Patani ditembak mati tengah malam tadi, lapor Wartani Melayu.

Mangsa, Abdul Muthalib Awang ditembak ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal dari pos kampung sekitar jam 12.30 tengah malam.

Difahamkan, peluru yang dilepaskan suspek dalam kejadian itu terkena pada bahagian dada dan perut mangsa.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Mae Lan untuk rawatan lanjut, bagaimanapun beliau disahkan telah meninggal dunia ketika itu.

Menurut Wartani Melayu, mangsa merupakan seorang guru agama yang mengajar di Sekolah Madrasah Al-Islamiyah Wittaya atau lebih dikenali sebagai Pondok Kubang Buaya.

Di samping itu, masih belum ada kesimpulan bahawa terdapat sebarang konflik mengenai beliau yang juga merupakan Ahli Jawatan Kuasa Masjid Piyek di wilayah itu.


Rundingan Damai bersama kerajaan Thailand

Sebelum ini, kes tembakan terhadap guru agama juga berlaku ke atas adik seorang anggota panel Barisan Revolusi Nasional (BRN), Abdul Aziz Jabal dan beliau dilapor cedera pada hari pertama rundingan damai 31 Mac baru-baru ini.

Difahamkan, rundingan tersebut telah berlangsung pada 31 Mac lalu hingga 2 April baru-baru ini bagi mencadangkan inisiatif damai antara pihak terlibat sepanjang bulan Ramadan selama 20 hari.

Namun, kebanyakan warga Patani mendakwa bahawa insiden tembakan tersebut merupakan satu provokasi pihak kerajaan Thailand mengenai perjanjian itu.

Difahamkan, rundingan tersebut telah mencapai persefahaman setelah Mesyuarat Rasmi Proses Rundingan Damai Patani kali keempat dijalankan secara bersemuka sebelum ini.

Rundingan damai tersebut melibatkan Panel Kerajaan Thailand dan BRN yang bertujuan mencapai agenda mengurangkan keganasan semasa bulan Ramadan dengan pelaksanaan ‘Inisiatif Pendamaian Ramadan’.

Rundingan yang berlangsung selama dua hari itu telah mencapai perbincangan yang positif dengan menekankan tiga isu iaitu mengurangkan keganasan, konsultasi awam dan penyelesaian politik.

Walaupun begitu, masih terdapat laporan bahawa tentera Thailand masih aktif dalam penggunaan undang-undang operasi pos pemeriksaan dan rondaan di dalam hutan.

Tindakan tentera Thailand tersebut dilapor menimbulkan kerisauan kepada warga Patani bahawa keganasan berkemungkinan akan berlaku lagi ketika Ramadan ini.