Aaron Aziz dedah hidap tumor, doktor saran jalani pembedahan
Pelakon Singapura yang popular di Malaysia, Datuk Aaron Aziz mendedahkan dirinya kini sedang berjuang melawan kesakitan tumor yang dikatakan semakin membesar.
Menerusi satu video di laman Instagram, pelakon berusia 45 tahun itu memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan dan berehat selama dua bulan namun terikat dengan jadual kerja yang padat.
Video tersebut memaparkan pelakon filem Abang Long Fadil itu dimasukkan ke dalam mesin pengimbas selama lebih sejam yang dilakukan oleh seorang doktor perubatan.
“90 minit dalam benda ni. Doktor cakap saya perlukan pembedahan dan cuti sakit untuk dua bulan tapi tak boleh sebab banyak projek sedang berjalan sekarang ni,” tulisnya.
Aaron berkata, dia terpaksa mengambil ubat buat ketika ini selain mengakui perit menahan kesakitan dialami meskipun secara fizikalnya tetap kelihatan tersenyum gembira.
’”Saya akan makan ubat untuk tahan sakit. Bekerja dalam kesakitan, hanya Allah tahu apa yang saya rasa.
“Korang tengok abang senyum sana ketawa sini, tapi korang tak nampak bila hati abang menangis kesakitan.. doktor cakap tumor semakin membesar,” ujarnya.
Pada penghujung kapsyen pula, dia turut meletakkan #cervicalspondylosis iaitu penyakit pada bahagian tulang leher dan #schwannoma iaitu sejenis tumor saraf yang terbentuk di dalam sistem saraf.
Terdahulu, media melaporkan Aaron mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian leher sejak sembilan tahun lalu sehingga terpaksa keluar masuk hospital namun tetap bekerja keras demi keluarga.
Sumber: Instagram Aaron Aziz