Budak autisme maut, tiga jam terkurung dalam van
Selepas terkurung di dalam sebuah van selama tiga jam, seorang kanak-kanak perempuan austisme ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.
Kejadian di hadapan rumah seorang pemandu van di Bandar Sri Sendayan, di sini.
Dia tidak menyedari mangsa berada di dalam kenderaan itu sebelum kanak-kanak terbabit ditemukan tidak sedarkan diri, 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan, namun pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van.
"Satu laporan polis diterima jam 7.46 malam tadi mengenai kematian seorang kanak-kanak austisme berumur lapan tahun di dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2.
"Mangsa mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
"Siasatan awal mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman, di sini, oleh pemandu van berkenaan, tetapi lelaki ini pulang ke rumah tanpa menyedari kanak-kanak itu masih berada di dalam kenderaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil maklumat, pemandu van tidak menyedari meninggalkan mangsa di dalam kenderaan itu, antara 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumahnya.
"Mangsa hanya ditemukan 5.30 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan kemudian disahkan sudah meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian, pemandu van, berusia 34 tahun itu ditahan dan pihaknya akan memohon perintah reman terhadap lelaki itu, hari ini.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian," katanya.