Bapa maut ela babi melintas anak cedera ringan


Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah van bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kampung Safoda, Jalan Papar, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 10.30 malam itu, mangsa, pemandu van, Faizal Lorong, 49, disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah.

Sementara dua lagi mangsa iaitu anak lelaki pemandu van berusia 15 dan pemandu Toyota Hilux yang identitinya belum diperoleh hanya cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.43 malam.

"Setiba di lokasi, pemandu van Nissan Vanette didapati tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa diberikan rawatan oleh pasukan EMRS.

Katanya, kedua-dua mangsa yang terselamat kemudian dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut.